Selasa, 25 September 2012

                                  Maybank Penaja Utama BAM                   

KUALA LUMPUR – Pembangunan sukan badminton negara memasuki lembaran baru semalam apabila Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama Maybank sebagai penaja utamanya untuk enam tahun akan datang yang bernilai RM41 juta keseluruhannya.
Ia merangkumi tajaan RM6 juta untuk tahun pertama dan disusuli RM7 juta bagi lima tahun berikutnya, di samping Maybank juga memiliki opsyen melanjutkan kerjasama tersebut untuk tambahan empat tahun setelah perjanjian tamat pada 2016.
Tambahan RM1 juta mulai 2012 adalah disuntik terus ke dalam penganjuran Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia.
Syarikat pengeluar kereta, Proton, yang merupakan rakan kongsi utama BAM sejak 1985, masih lagi meneruskan komitmennya membantu BAM, namun peranannya bertukar menjadi penaja sampingan dengan penajaan berjumlah RM2 juta setahun.
Majlis menandatangani MoU antara kedua-dua pihak oleh Presiden BAM, Datuk Seri Mohd. Nadzmi Salleh dan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank, Datuk Seri Abdul Wahid Omar diadakan di Menara Maybank di ibu negara, semalam.
Majlis bersejarah itu disaksikan isteri Perdana Menteri yang juga penaung BAM, Datin Seri Rosmah Mansor.
Bercakap pada sidang media selepas majlis tersebut, Abdul Wahid menyifatkan kerjasama pihaknya dengan BAM sebagai keputusan tepat kerana ia berpotensi meningkatkan kesedaran jenama Maybank ke seluruh benua Asia yang mempunyai populasi tiga bilion penduduk.
“Kami tertarik dengan badminton kerana ia mempunyai populariti cukup tinggi di seluruh Asia, malah jaguh handalannya juga dilahirkan dari rantau ini termasuk negara kita sendiri.
“Kekuatan Malaysia dalam sukan ini juga seiring dengan status Maybank kini selaku peneraju kewangan Asia dengan rangkaian 18 juta pelanggan di 17 buah negara.
“Apa yang lebih penting adalah menerusi usahasama ini, Maybank komited dalam membantu BAM melahirkan ramai pemain pelapis untuk meneruskan legasi juara terdahulu,” kata Abdul Wahid yang juga Presiden Maybank.
Orang No. 1 BAM, Mohd. Nadzmi menyahut seruan penaja utama baru mereka itu dengan berjanji akan memanfaatkan suntikan kewangan terbesar yang pernah diterima badan induk dalam sejarah itu untuk pembangunan di peringkat akar umbi terutamanya.
“Dengan adanya tajaan wang ini, BAM mempunyai fleksibiliti untuk merangka program yang lebih mantap buat skuad elit dan pelapis, di samping dibelanjakan untuk pembangunan akar umbi di peringkat negeri.
“Kami juga akan mengkaji semula segala insentif bonus, elaun untuk para pemain.
“Apa sekali pun, BAM akan memastikan wang yang disuntik Maybank tidak berupa tajaan semata-mata, ia sebaliknya satu pelaburan yang membawa pulangan kepada mereka,” jelas Nadzmi.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan