Rabu, 27 Julai 2011

TEMPAT LATIHAN BADMINTON SMKTAT

PUSAT LATIHAN BADMINTON SMKTAT


Pelajar akan bermain di dewan ini





Jenis gelangang para pelajar akan berlatih

Selasa, 26 Julai 2011

Rexy Optimis Kemampuan Koo-Tan Pada Kejohanan Dunia


KUALA LUMPUR - Walaupun Koo Kien Keat-Tan Boon Heong diundi berdepan pasangan yang tidak pernah dikalahkan, Cho Gun Woo-Kwon Yi Goo seawal saingan suku akhir Kejohanan Dunia bulan depan, namun ia tidak sedikit pun memadam keyakinan ketua jurulatih beregu negara, Rexy Mainaky terhadap kemampuan anak buahnya itu untuk melakar kejutan di London.

Kien Keat-Boon Heong kalah dalam semua empat perlawanan terdahulu menentang pasangan Korea Selatan itu dengan kekalahan terbaru hadir pada Siri Super Masters Akhir di Taiwan, Januari lalu, namun, bagi Rexy Kejohanan Dunia adalah cerita baru.

Pasangan utama negara itu, yang diletak sebagai pilihan keempat akan memulakan kempen dari pusingan kedua selepas menerima bye di pusingan pertama. Mereka membuka saingan dengan bertemu pasangan China, Liu Xiaolong-Qiu Zihan, sebelum dijangka berdepan Ingo Kindervater-Johannes Schoettler dari Jerman di pusingan ketiga.

"Saya tahu ramai yang resah dengan kemampuan Koo dan Tan untuk mencatat keputusan baik dalam kejohanan ini kerana mereka tidak mempunyai pencapaian besar tahun ini, malah berpotensi pula berdepan pasangan yang tidak pernah dikalahkan, tetapi keyakinan saya terhadap mereka tidak sedikit pun berkurangan, kerana mereka pernah membuktikannya kepada saya.

"Tahun lalu, Koo dan Tan juga mempamer aksi hambar dengan gagal memenangi sebarang kejuaraan, namun tiba-tiba saja mereka menunjukkan satu persembahan yang hebat pada Kejohanan Dunia dengan melangkah ke final, sebelum kalah tipis kepada Fu Haifeng-Cai Yun. Saya tidak nampak mengapa prestasi yang sama tidak boleh diulangi kali ini.

"Yang penting buat mereka adalah jangan memikirkan tentang rekod pertemuan seandainya menentang pasangan Korea itu. Jika mereka dapat memberi tumpuan kepada permainan dan yakin kepada kemampuan sendiri, saya percaya Koo dan Tan mampu melangkah jauh, malah pencabar serius untuk kejuaraan dunia," ujar Rexy selepas undian Kejohanan Dunia di sini, semalam.

Tegas jurulatih kelahiran Indonesia itu lagi, kecuali pasangan Korea yang mampu menghadirkan 'masalah psikologi' buat beregu utama, undian keseluruhan Kien Keat-Boon Heong sebenarnya lebih baik tanpa perlu berdepan juara dunia, Hai Feng-Cai Yun, juara Olimpik, Markis Kido-Hendra Setiawan atau pasangan handalan Korea, Lee Yong Dae-Jung Jae Sung di peringkat awal.

Andai berjaya melepasi cabaran Gun Woo-Yi Goo atau satu lagi beregu Korea, Ko Sung Hyun-Yoo Yeon Seong di suku akhir, beregu No. 2 dunia, Mathias Boe-Carsten Mogensen mampu menjadi halangan terbesar mereka untuk melangkah ke final.

Pasangan Denmark itu mengalahkan Kien Keat-Boon Heong di final All England, Mac lalu.
Satu lagi beregu negara, Mohd. Zakry Latif-Hoon Thien How berdepan cabaran getir juara dunia 2005, Howard Bach-Tony Gunawan dari Amerika Syarikat seawal pusingan pertama, manakala beregu muda, Chan Peng Soon-Lim Khim Wah memulakan kempen dengan bertemu Adam Cwalina-Michal Logosz dari Poland.

Dalam beregu wanita, Wong Pei Tty-Chin Eei Hui berdepan laluan getir di pusingan pembukaan dengan diundi menentang pasangan tuan rumah, Jenny Wallwork-Gabrielle White, jika melangkah ke pusingan kedua, pilihan keempat dari Jepun, Mizuki Fujii-Reika Kakiiwa pula bakal menanti.

Turut membawa cabaran beregu wanita adalah Ng Hui Lin-Ng Hui Ern yang berdepan Anna Kobceva-Elena Prus dari Ukraine di pusingan pertama.

Malaysia turut memiliki dua wakil dalam beregu campuran.

Bekas jura Asia, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying memulakan kempen dengan bertemu Lino Munoz-Cynthia Gonzalez dari Mexico, manakala Ong Jien Guo-Sabrina Chong bertemu pasangan Taiwan, Chun Liao Min-Huan Chen Hsiao.

Peluang Juara Tidak Semudah Atas Kertas


KUALA LUMPUR - Sekarang adalah waktu paling sempurna buat Datuk Lee Chong Wei untuk merangkul kejuaraan dunia pertamanya kerana kejohanan bakal berlangsung di gelanggang legenda, Wembley dan dia pula berada pada kemuncak prestasi, namun laluan berliku bakal menanti jaguh No. 1 dunia itu dalam usaha merealisasikan misi.

Di atas kertas, laluan tampak mudah buat Chong Wei untuk melangkah sekurang-kurangnya hingga suku akhir, namun bintang muda China, Chen Long, penyandang juara, Chen Jin, bekas juara, Taufik Hidayat dan Kenichi Tago dari Jepun antara yang berpotensi mencabar jaguh negara itu dalam laluan ke final.

Chong Wei yang tidak pernah merangkul kejuaraan dunia, malah tidak pernah melayakkan diri ke perlawanan akhir dalam lima percubaan terdahulu, akan memulakan kempen dengan menentang pemain muda berusia 21 tahun, Tanongsak Saensomboonsuk dari Thailand, lawan yang dilihat tidak begitu berbahaya tetapi tetap mampu memberi kejutan. Chong Wei memegang rekod kemenangan 5-0.

Melepasi halangan Tanongsak, pemain muda Indonesia, Dionysius Hayom Rumbaka yang telah dikalahkan dalam tiga pertemuan terdahulu berpotensi menjadi pencabar di pusingan kedua, sebelum Park Sung Hwan dijangka menanti di pusingan ketiga. Chong Wei menang 11 daripada 12 pertemuan dengan jaguh Korea Selatan itu.

Sebaik melangkah ke suku akhir, bermulalah ujian getir jaguh No. 1 dunia itu dengan bintang muda China, Chen Long berpotensi menanti. Memasuki separuh akhir pula ada tiga lawan menjadi prospek pencabar Chong Wei, diketuai juara dunia, Chen Jin, bekas juara dunia, Taufik Hidayat serta bintang muda Jepun, Kenichi Tago.

Juara dunia tiga kali, Lin Dan mengetuai undian bawah bersama jaguh Denmark, Peter Hoeg Gade, Simon Santoso (Indonesia), Nguyen Tien Minh, Boonsak Posana, Du Penyu dan Sho Sasaki, pemain yang sebelum ini agak digeruni Chong Wei.

"Chong Wei sebenarnya berdepan laluan berliku sejak pusingan awal kerana pada saya Tanongsak, Dionysius dan Park Sung Hwang semuanya adalah pemain yang mampu melakar kejutan, walaupun berdasarkan rekod dia telah mengalahkan kesemua pemain ini dalam banyak pertemuan.

"Memasuki suku akhir, tiada yang mudah sekiranya berdepan Chen Long, begitu juga di separuh akhir.. sama ada yang menanti Chen Jin, Taufik atau Kenichi Tago kerana semua adalah lawan kental. Begitupun saya yakin, jika prestasi semasa menjadi ukuran, Chong Wei sepatutnya tiada masalah untuk mengetepikan semua pesaing ini.

"Malah, saya rasa sekarang sebenarnya adalah detik terbaik buat Chong Wei untuk menamatkan penantian panjang. Pertama, kejohanan dunia kali ini akan berlangsung di Arena Wembley, ia adalah gelanggang prestij yang telah melahirkan ramai legenda, dan kemenangan di situ akan memberi satu makna yang sangat besar.

"Kedua, ini mungkin penampilan terakhir buat Chong Wei pada Kejohanan Dunia memandangkan dia pernah menyuarakan hasrat untuk bersara selepas Sukan Olimpik tahun depan, jadi inilah peluang terbaiknya untuk menggondol gelaran berprestij ini dan menjadi pemain Malaysia muncul juara dunia," kata Rashid selepas majlis undian di sini, semalam.

Mengenai masalah kecederaan belakang yang dialami pemain itu, Rashid berkata, keadaannya semakin baik dan beliau tidak melihat ia akan membawa masalah besar kepada Chong Wei, apatah lagi dia kini hanya menumpukan kepada aspek taktikal tanpa didera dengan latihan keras.

"Saya tidak nampak kecederaan belakang akan menganggu Chong Wei, dia hanya perlu memberi tumpuan kepada permainan. Lagipun, sekarang dia banyak melakukan rawatan fisioterapi dan semakin menunjukkan petanda positif," katanya lagi.

Selain Chong Wei, yang memiliki pencapaian terbaik mara ke separuh akhir pada kejohanan dunia di Amerika Syarikat 2005, cabaran Malaysia dalam perseorangan lelaki pada kejohanan di London, 4-18 Ogos ini turut dipikul pemain veteran, Wong Choong Hann.

Skuad negara akan berlepas ke Universiti Bath di England malam ini untuk memulakan latihan selama 10 hari, sebelum berlepas ke London.

Chong Wei Untuk Sedia ‘Takluk’ Dunia

RASHID (kiri) dan jurulatih beregu Rexy Maniaky berbincang mengenai undian Kejohanan Badminton Dunia di London, Ogos ini.


Undian Kejohanan Dunia Beri Bayangan Jaguh Negara Bakal Rentap Lin Dan

LEE Chong Wei dijangka berentap dengan musuh tradisi, Lin Dan bagi memburu mahkota kejuaraan Kejohanan Badminton Dunia yang bakal diadakan di London bermula 8 sehingga 14 Ogos ini.

Dalam undian oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF), semalam, pemain nombor satu dunia itu akan membuka cabaran di Wembley Indoor Arena menentang pemain Thailand, T Saensomboonsuk di pusingan pertama.

Apapun, cabaran getir bagi Chong Wei dijangka bermula pada pusingan ketiga apabila dia dijangka menentang pilihan kesembilan kejohanan, Park Sung Hwan dari Korea dan andai melepasi halangan itu satu lagi nama besar, Chen Long dari China bakal menunggunya.

Berpandu kepada status dunia, pemain negara mampu meniti ranjau itu dan mungkin bertemu bintang Indonesia, Taufik Hidayat (pilihan ke-4) atau Chen Jin (pilihan ke-6) dari China dalam separuh akhir nanti.

Apapun, ketua jurulatih perseorangan, Rashid Sidek tetap menganggap undian kali ini satu tugasan getir harus dilalui jaguh negara.

“Jika Chong Wei berhempas pulas menang di pusingan awal dan terpaksa bermain diset penentuan , itu boleh menjejaskan prestasinya pada perlawanan seterusnya sehingga ke final.

“Undian ini masih sukar kerana ada pemain China yang sedikit sebanyak boleh memberi tentangan sengit kepada Chong Wei walaupun dia boleh menang ke atas pemain berkenaan,” katanya ketika ditemui di majlis undian kejohanan itu, di Hotel Park Royal, semalam.

Rashid berkata pemain perseorangan negara itu harus lebih fokus satu persatu lawan dan jangan terus fokus ke arah final.

“Apa yang penting apabila sudah melepasi pusingan pertama... pusingan kedua. Jadi, perlawanan seterusnya akan lebih baik,” katanya yang menganggap kejohanan dunia kali ini medan terbaik untuk Chong Wei muncul pemain pertama negara memenangi gelaran.

Selasa, 19 Julai 2011

Li Ning Taja Badminton KL


Di bawah perjanjian penajaan selama dua tahun itu, skuad badminton remaja Kuala Lumpur yang mempunyai 65 pemain yang berusia di antara 10 hingga 18 tahun, bakal menggunakan sepenuhnya peralatan sukan badminton yang dibekalkan Li Ning.

Presiden KLBA, Datuk Mohamad Norza Zakaria gembira dengan jalinan kerjasama berkenaan yang bakal membantu pembangunan badminton di Kuala Lumpur.

"Li Ning merupakan sebuah syarikat peralatan sukan yang besar dan kesudian mereka menaja pasukan badminton Kuala Lumpur amat bermakna buat kami.

"Ini merupakan satu era baru kepada KLBA, memandangkan skuad badminton Kuala Lumpur semakin ramai melahirkan ramai pemain pelapis negara, juga memenangi kejohanan Remaja Kebangsaan dua tahun berturut-turut, " katanya pada sidang akhbar di Wisma Majlis Olimpik Malaysia (MOM), semalam.

Hadir sama Timbalan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan Naib Presiden Konfederasi Badminton Asia (ABC), Datuk Al-Amin Majid dan Pengurus BAM, Kenny Goh.

Sementara itu, Al-Amin berkata, BAM mungkin mencadangkan Setiausaha Agungnya, Ng Chin Chai untuk menjadi pengurus pasukan negara pada Kejohanan Dunia pada 8 Ogos di Wembley Arena, London selepas Norza menolak.

"Chin Chai merupakan calon paling layak ketika ini kerana kejohanan tersebut berlangsung pada bulan Ramadan," katanya.

Isnin, 18 Julai 2011

Datuk Lee Chong Wei ( Jaguh Badminton Negara)

Pukulan Tangkas Chong Wei


Chong Wei Megah Bersama Pialanya.


Datuk Lee Chong Wei lahir pada 21 Oktober 1982 di George Town, Pulau Pinang ialah seorang pemain badminton professional dari Malaysia yang kini menetap di Bukit Mertajam. Lee merangkul pingat perak di temasya Sukan Olimpik 2008, maka menjadi rakyat Malaysia pertama yang layak ke pusingan akhir acara perseorangan lelaki, sekaligus menamatkan kemarau pingat Olimpik Malaysia sejak tahun 1996. Pencapaian ini mengurniakan gelaran Datuk kepadanya, serta sanjungan oleh Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai wira kebangsaan.

Lee menduduki tangga teratas dalam ranking pemain badminton lelaki perseorangan pada 21 Ogos 2008. Beliau ialah pemain badminton Malaysia ketika yang mencapai tangga teratas selepas Rashid Sidek dan Roslin Hashim (semenjak ranking rasmi dimulakan pada 1980-an), dan juga satu-satunya jaguh badminton Malaysian yang mempertahankan kedudukan teratasnya selama lebih dua minggu.

Ranking Pemain Badminton Dunia

Inilah senarai ranking terkini pemain badminton seluruh dunia yang diambil dari BWF. Malaysia tetap gah  di persada antarabangsa. Malaysia Boleh!!!

Ahad, 17 Julai 2011

Permainan Badminton

Sejarah Permainan Badminton


Sejarah
Permainan badminton sudah lama wujud sekitar dua ribu tahun lalu. Permainan ini dikenali sebagai Battledore dan Shuttlecock yang mula dimainkan pada zaman Yunani kuno, India dan China. Pada tahun 1600 Battledore dan Shuttlecock dimainkan oleh masyarakat kelas pertengahan di England dan beberapa negara Eropah untuk mengisi masa lapang. Permainan badminton juga dikenali sebagai ”Poon” di India pada tahun 1800. Badminton diberi nama ”Badminton House” di Gloucestershire iaitu kampung halaman ”Duke of Beaufort”. Duke adalah nama gelaran bagi bangsawan eropah pada zaman dulu.

Kejohanan pertama All England diadakan pada bulan Mac 1898 di Guilford. International Badminton Federation (IBF) ditubuhkan pada tahun 1934 dan dianggotai 9 negara iaitu England, Wales, Ireland, Scotland, Denmark, Belanda, Kanada, New Zeland dan Perancis. Dua tahun kemudian India turut menjadi keluarga IBF.

Piala Thomas merupakan kejohanan pertama yang dianjurkan oleh IBF pada tahun 1948. Piala Thomas adalah kejohanan dunia yang melibatkan pemain lelaki. Selepas Piala Thomas diperkenalkan tahun 1948 beberapa kejohanan dunia lain turut dipertandingkan seperti Piala Uber, Sudirman Cup, World Junior dan World Grand Prix Finals. Perlawanan badminton mula dipertandingkan di Sukan Komenwell pada tahun 1966 di Kingston Jamaica. Selepas menjadi acara demonstrasi di Sukan Olimpik Munich tahun 1972, acara badminton secara rasminya di pertandingkan sebagai salah satu acara sukan di Sukan Olimpik Barcelona 1992.

Permainan badminton dahulunya dikenali sebagai bulu tangkis merupakan satu permainan gelanggang yang menggunakan raket dan amat popular di Malaysia. Di Indonesia istilah bulu tangkis masih digunakan. Ia boleh dimainkan secara individu mahupun beregu.

Gelanggang

Gelanggang badminton mempunyai panjang 13.40 meter dan lebar 6.10 meter. Setiap gelanggang digarisi dengan garisan servis panjang, garisan luar ganda, garisan tengah, garisan servis pendek dan net yang berukuran 1.55 meter tinggi.

Gelanggang badminton untuk permainan individu berbeza dengan permainan beregu. Untuk permainan individu garisan luar tidak dikira jika shuttlecock jatuh diluar garisan kedua dalam maka ia dianggap keluar. Dalam permainan beregu pula garisan luar dikira jika servis shuttlecock jatuh di luar garisan servis panjang dikira keluar atau long.

Peraturan Permainan


Peraturan dan undang-undang permainan badminton ditetapkan oleh IBF.


Sistem Pemarkahan

v Tiga pusingan untuk satu permainan dengan kiraan 21 mata.
v Setiap kali serve, pemain akan dapat mata.
v Pada kedudukan mata 20 sama, tambahan dua mata (deuce) akan diberikan kepada pemain.
v Pemain yang dapat menambah dua mata tambahan akan menang .
v Manakala apabila kedua pemain terikat pada 29 sama, pemain yang dapat menambah mata menjadikan kedudukan 30 akan memenangi permainan tersebut.
v Permain yang menang pada set pertama akan memulakan permainan pada set kedua.

Jarak masa antara permainan dan menamatkan permainan

v Apabila pemain mendahului pihak lawan dengan 11 mata, pemain mempunyai 60 saat jarak masa antara perlawanan.
v Jarak masa 2 minit di antara setiap perlawanan dibenarkan.
v Dalam set ketiga, pemain diberi peluang untuk menamatkan perlawanan apabila mendahului dengan 11 mata.

Sistem Kedudukan Pemain Badminton Dunia

Sistem pengiraan mata pemain badminton bagi kedudukan dunia dibahagi kepada lima displin iaitu perseorangan lelaki, perseorangan wanita, beregu lelaki, beregu wanita dan beregu campuran.

Status kedudukan pemain diperakui oleh Badminton of World Federation (BWF). Berikut adalah sistem pengiraan mata bagi pemain perseorangan dan beregu :

v Berjaya mengutip mata bagi kedudukan dunia dalam kejohanan yang disertai
v Kutipan mata bagi kedudukan dunia untuk setiap pemain akan bertambah apabila mereka menyertai dua atau lebih kejohanan dalam masa 12 bulan setahun
v Menyertai setiap kejohanan dan menang dalam kejohanan yang disertai
v Menyertai kejohanan dunia akan mendapat banyak mata sekiranya menang
v Pemain pilihan dilihat melalui kedudukan dunia
v Kelayakan untuk Sukan Olimpik dan kejohanan dunia juga dikira berpandukan kedudukan dunia
Kemahiran Asas Badminton

Terdapat dua cara memegang raket iaitu pegangan hadapan dan pegangan kilas

Pukulan Servis

Terdapat tiga jenis pukulan servis iaitu :

I ) Servis Rendah
v Berdiri sisi, sebelah kaki di hadapan
v Ayun raket ke belakang
v Siku bengkok hampir ke badan
v Tangan kiri pegang bulu tangkis
v Lepaskan bulu tangkis
v Ayun raket pantas ke hadapan
v Pukul bulu tangkis di hadapan kaki kiri
v Pandang ke sasaran


II ) Servis Flik
v Flik bulu tangkis dengan pergelangan tangan di hadapan kaki kiri
v Pukulan bulu tangkis tinggi melepasi pihak lawan



III ) Servis Tinggi
v Berdiri sisi, sebelah kaki di hadapan
v Ayun raket tinggi ke belakang
v Pegang bulu tangkis tinggi di paras hadapan muka
v Lepaskan bulu tangkis
v Ayun raket ke hadapan dengan lengan diluruskan
v Pandang bulu tangkis


IV ) Pukulan Hadapan
v Pandang bulu tangkis
v Ayun raket ke belakang
v Sebelah tangan lagi diluruskan
v Ayun raket dengan tangan lurus
v Pukul bulu tangkis pada jangkauan yang tinggi


V) Pukulan Kilas
v Pandang bulu tangkis
v Kaki kanan menyilang ke kiri
v Kilas raket separa bahu
v Pukul bulu tangkis


VI) Pukulan Lob
v Kemahiran pukulan hadapan boleh digunakan untuk melakukan pukulan lob. Pukulan ini digunakan untuk memaksa pihak lawan
bergerak jauh ke belakang gelanggang.


VII) Pukulan Smesy
Pukulan smesy boleh digunakan ketika bulu tangkis berada tunggi di udara. Ia digunakan untuk menamatkan rally. Sasaranyan ialah ke ruang kosong gelanggang lawan.

v Berdiri sisi, sebelah kaki di hadapan
v Ayun raket ke belakang dengan siku bengkok
v Sebelah tangan lagi lurus ke atas
v Pukul bulu tangkis dengan pantas


Kejohanan Badminton


Piala Thomas


Kejohanan Piala Thomas adalah kejohanan utama badminton peringkat antarabangsa bagi berpasukan lelaki. Kejohanan ini diadakan dua tahun sekali. Kejohanan ini diberi nama Piala Thomas bersempena dengan nama Presiden IBF Sir George Alan Thomas yang menderma piala ini pada tahun 1939. pertandingan pertama berlangsung pada tahun 1948-1949. kejohanan pertama diadakan di Queen’s Hall, Preston, England. Malaysia pada ketika itu dikenali sebagai Malaya telah memenangi kejohanan pertama ini dengan menumpaskan Denmark 8-1 pada perlawanan akhir. Sejak itu Piala Thomas sentiasa dimenangi oleh pasukan-pasukan dari Asia.

Indonesia memenangi Piala Thomas sebanyak 13 kali diikuti China sebanyak enam kali dan Malaysia lima kali. Manakala Denmark yang berjaya mara ke perlawanan akhir sebanyak lapan kali namun belum pernah sekali pun memenangi kejohanan ini.

Bagi 12 siri pertama kejohanan ini sehingga tahun 1982, kejohanan ini berlangsung selang tiga tahun sekali. Namun mulai tahun 1984 kejohanan ini telah diadakan setiap dua tahun dan diadakan bersama-sama dengan Piala Uber di lokasi dan masa yang sama.

Pusingan kalah mati yang akan menentukan juara dalam lima perlawanan iaitu tiga perseorangan dan 2 beregu pada setiap satu peringkat. Pasukan pertama yang berjaya memenangi tiga perlawanan pertama akan mara ke pusingan berikutnya.

Piala Uber

Piala Uber ialah sebuah trofi yang dianugerahkan kepada pasukan badminton wanita terbaik dunia. Piala ini didermakan oleh H.S. Uber, seorang pemain badminton wanita dari England pada tahun 1956-1957. Piala Uber adalah kejohanan badminton bagi berpasukan wanita.

Pertandingan Piala Uber yang pertama diadakan di Lytham St. Annes di Lancashire, Britain pada tahun 1957. hal ini timbul kerana desakan supaya dianjurkan satu kejohanan antarabangsa untuk wanita seperti Piala Thomas. Pasukan dari Amerika Syarikat telah memenangi kejohanan pertama selepas menewaskan Denmark 6-1 pada perlawanan akhir. Hanya empat negara sahaja yang berjaya memenangi Piala Uber iaitu Amereka Syarikat, Jepun, China dan Indonesia.

Piala Sudirman

Piala Sudirman ialah kejohanan badminton campuran dunia yang diadakan setiap dua tahun. Terdapat lima perlawanan bagi setiap pusingan iaitu perseorangan lelaki dan wanita, beregu lelaki dan wanita dan beregu campuran. Piala ini dinamakan sempena nama Dick Sudirman iaitu bekas pemain Indonesia. Beliau juga merupakan pengasas Persatuan Bulu Tangkis Indonesia ( PBSI). Kejohanan pertama diadakan di Istora Gelora Bung Karno, Jakarta, Indonesia pada 24-29 Mei 1989.

Tiada hadiah berupa wang dalam kejohanan ini buat pemain. Mereka bermain bagi menaikkan nama negara yang diwakili untuk memperbaiki kedudukan mereka dalam ranking IBF.

Indonesia merupakan negara pertama yang mencadangkan penubuhan kejohanan ini pada tahun 1986. Sepanjang kejohanan ini berlangsung Cuma lima negara yang berjaya mara ke perlawanan separuh akhir iaitu China, Indonesia, Korea Selatan, Denmark dan England.

Pasukan China paling banyak memenangi piala ini pada tahun 1995, 1997, 1999, 2001, 2005 dan 2007. Korea Selatan memenangi piala ini sebanyak tiga kali pada tahun 1991, 1993 dan 2003. Indonesia pula hanya menang pada tahun 1989. Piala ini tidak pernah dimenangi oleh negara lain selain dari Asia.


Sumber: http://www.sksenai.com anm_trg@yahoo.com.my dan mediasukan.com