Selasa, 26 Julai 2011

Rexy Optimis Kemampuan Koo-Tan Pada Kejohanan Dunia


KUALA LUMPUR - Walaupun Koo Kien Keat-Tan Boon Heong diundi berdepan pasangan yang tidak pernah dikalahkan, Cho Gun Woo-Kwon Yi Goo seawal saingan suku akhir Kejohanan Dunia bulan depan, namun ia tidak sedikit pun memadam keyakinan ketua jurulatih beregu negara, Rexy Mainaky terhadap kemampuan anak buahnya itu untuk melakar kejutan di London.

Kien Keat-Boon Heong kalah dalam semua empat perlawanan terdahulu menentang pasangan Korea Selatan itu dengan kekalahan terbaru hadir pada Siri Super Masters Akhir di Taiwan, Januari lalu, namun, bagi Rexy Kejohanan Dunia adalah cerita baru.

Pasangan utama negara itu, yang diletak sebagai pilihan keempat akan memulakan kempen dari pusingan kedua selepas menerima bye di pusingan pertama. Mereka membuka saingan dengan bertemu pasangan China, Liu Xiaolong-Qiu Zihan, sebelum dijangka berdepan Ingo Kindervater-Johannes Schoettler dari Jerman di pusingan ketiga.

"Saya tahu ramai yang resah dengan kemampuan Koo dan Tan untuk mencatat keputusan baik dalam kejohanan ini kerana mereka tidak mempunyai pencapaian besar tahun ini, malah berpotensi pula berdepan pasangan yang tidak pernah dikalahkan, tetapi keyakinan saya terhadap mereka tidak sedikit pun berkurangan, kerana mereka pernah membuktikannya kepada saya.

"Tahun lalu, Koo dan Tan juga mempamer aksi hambar dengan gagal memenangi sebarang kejuaraan, namun tiba-tiba saja mereka menunjukkan satu persembahan yang hebat pada Kejohanan Dunia dengan melangkah ke final, sebelum kalah tipis kepada Fu Haifeng-Cai Yun. Saya tidak nampak mengapa prestasi yang sama tidak boleh diulangi kali ini.

"Yang penting buat mereka adalah jangan memikirkan tentang rekod pertemuan seandainya menentang pasangan Korea itu. Jika mereka dapat memberi tumpuan kepada permainan dan yakin kepada kemampuan sendiri, saya percaya Koo dan Tan mampu melangkah jauh, malah pencabar serius untuk kejuaraan dunia," ujar Rexy selepas undian Kejohanan Dunia di sini, semalam.

Tegas jurulatih kelahiran Indonesia itu lagi, kecuali pasangan Korea yang mampu menghadirkan 'masalah psikologi' buat beregu utama, undian keseluruhan Kien Keat-Boon Heong sebenarnya lebih baik tanpa perlu berdepan juara dunia, Hai Feng-Cai Yun, juara Olimpik, Markis Kido-Hendra Setiawan atau pasangan handalan Korea, Lee Yong Dae-Jung Jae Sung di peringkat awal.

Andai berjaya melepasi cabaran Gun Woo-Yi Goo atau satu lagi beregu Korea, Ko Sung Hyun-Yoo Yeon Seong di suku akhir, beregu No. 2 dunia, Mathias Boe-Carsten Mogensen mampu menjadi halangan terbesar mereka untuk melangkah ke final.

Pasangan Denmark itu mengalahkan Kien Keat-Boon Heong di final All England, Mac lalu.
Satu lagi beregu negara, Mohd. Zakry Latif-Hoon Thien How berdepan cabaran getir juara dunia 2005, Howard Bach-Tony Gunawan dari Amerika Syarikat seawal pusingan pertama, manakala beregu muda, Chan Peng Soon-Lim Khim Wah memulakan kempen dengan bertemu Adam Cwalina-Michal Logosz dari Poland.

Dalam beregu wanita, Wong Pei Tty-Chin Eei Hui berdepan laluan getir di pusingan pembukaan dengan diundi menentang pasangan tuan rumah, Jenny Wallwork-Gabrielle White, jika melangkah ke pusingan kedua, pilihan keempat dari Jepun, Mizuki Fujii-Reika Kakiiwa pula bakal menanti.

Turut membawa cabaran beregu wanita adalah Ng Hui Lin-Ng Hui Ern yang berdepan Anna Kobceva-Elena Prus dari Ukraine di pusingan pertama.

Malaysia turut memiliki dua wakil dalam beregu campuran.

Bekas jura Asia, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying memulakan kempen dengan bertemu Lino Munoz-Cynthia Gonzalez dari Mexico, manakala Ong Jien Guo-Sabrina Chong bertemu pasangan Taiwan, Chun Liao Min-Huan Chen Hsiao.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan