Selasa, 26 Julai 2011
Peluang Juara Tidak Semudah Atas Kertas
KUALA LUMPUR - Sekarang adalah waktu paling sempurna buat Datuk Lee Chong Wei untuk merangkul kejuaraan dunia pertamanya kerana kejohanan bakal berlangsung di gelanggang legenda, Wembley dan dia pula berada pada kemuncak prestasi, namun laluan berliku bakal menanti jaguh No. 1 dunia itu dalam usaha merealisasikan misi.
Di atas kertas, laluan tampak mudah buat Chong Wei untuk melangkah sekurang-kurangnya hingga suku akhir, namun bintang muda China, Chen Long, penyandang juara, Chen Jin, bekas juara, Taufik Hidayat dan Kenichi Tago dari Jepun antara yang berpotensi mencabar jaguh negara itu dalam laluan ke final.
Chong Wei yang tidak pernah merangkul kejuaraan dunia, malah tidak pernah melayakkan diri ke perlawanan akhir dalam lima percubaan terdahulu, akan memulakan kempen dengan menentang pemain muda berusia 21 tahun, Tanongsak Saensomboonsuk dari Thailand, lawan yang dilihat tidak begitu berbahaya tetapi tetap mampu memberi kejutan. Chong Wei memegang rekod kemenangan 5-0.
Melepasi halangan Tanongsak, pemain muda Indonesia, Dionysius Hayom Rumbaka yang telah dikalahkan dalam tiga pertemuan terdahulu berpotensi menjadi pencabar di pusingan kedua, sebelum Park Sung Hwan dijangka menanti di pusingan ketiga. Chong Wei menang 11 daripada 12 pertemuan dengan jaguh Korea Selatan itu.
Sebaik melangkah ke suku akhir, bermulalah ujian getir jaguh No. 1 dunia itu dengan bintang muda China, Chen Long berpotensi menanti. Memasuki separuh akhir pula ada tiga lawan menjadi prospek pencabar Chong Wei, diketuai juara dunia, Chen Jin, bekas juara dunia, Taufik Hidayat serta bintang muda Jepun, Kenichi Tago.
Juara dunia tiga kali, Lin Dan mengetuai undian bawah bersama jaguh Denmark, Peter Hoeg Gade, Simon Santoso (Indonesia), Nguyen Tien Minh, Boonsak Posana, Du Penyu dan Sho Sasaki, pemain yang sebelum ini agak digeruni Chong Wei.
"Chong Wei sebenarnya berdepan laluan berliku sejak pusingan awal kerana pada saya Tanongsak, Dionysius dan Park Sung Hwang semuanya adalah pemain yang mampu melakar kejutan, walaupun berdasarkan rekod dia telah mengalahkan kesemua pemain ini dalam banyak pertemuan.
"Memasuki suku akhir, tiada yang mudah sekiranya berdepan Chen Long, begitu juga di separuh akhir.. sama ada yang menanti Chen Jin, Taufik atau Kenichi Tago kerana semua adalah lawan kental. Begitupun saya yakin, jika prestasi semasa menjadi ukuran, Chong Wei sepatutnya tiada masalah untuk mengetepikan semua pesaing ini.
"Malah, saya rasa sekarang sebenarnya adalah detik terbaik buat Chong Wei untuk menamatkan penantian panjang. Pertama, kejohanan dunia kali ini akan berlangsung di Arena Wembley, ia adalah gelanggang prestij yang telah melahirkan ramai legenda, dan kemenangan di situ akan memberi satu makna yang sangat besar.
"Kedua, ini mungkin penampilan terakhir buat Chong Wei pada Kejohanan Dunia memandangkan dia pernah menyuarakan hasrat untuk bersara selepas Sukan Olimpik tahun depan, jadi inilah peluang terbaiknya untuk menggondol gelaran berprestij ini dan menjadi pemain Malaysia muncul juara dunia," kata Rashid selepas majlis undian di sini, semalam.
Mengenai masalah kecederaan belakang yang dialami pemain itu, Rashid berkata, keadaannya semakin baik dan beliau tidak melihat ia akan membawa masalah besar kepada Chong Wei, apatah lagi dia kini hanya menumpukan kepada aspek taktikal tanpa didera dengan latihan keras.
"Saya tidak nampak kecederaan belakang akan menganggu Chong Wei, dia hanya perlu memberi tumpuan kepada permainan. Lagipun, sekarang dia banyak melakukan rawatan fisioterapi dan semakin menunjukkan petanda positif," katanya lagi.
Selain Chong Wei, yang memiliki pencapaian terbaik mara ke separuh akhir pada kejohanan dunia di Amerika Syarikat 2005, cabaran Malaysia dalam perseorangan lelaki pada kejohanan di London, 4-18 Ogos ini turut dipikul pemain veteran, Wong Choong Hann.
Skuad negara akan berlepas ke Universiti Bath di England malam ini untuk memulakan latihan selama 10 hari, sebelum berlepas ke London.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan